Wednesday, 3 April 2013

Kata Aluan Pengetua SMK Dato' Ibrahim Majid



Assalamualaikum w.b.t.  dan Salam Sejahtera.

Syukur Alhamdullillah dengan keizinanNya Majlis Mesyuarat Agung PIBG kali yang ke 3, SMK Dato Ibrahim Majid dapat diadakan pada tahun 2013 ini.  Sesungguhnya majlis ini amat bermakna kepada semua ibu bapa, guru-guru, pelajar dan warga SMK Dato’ Ibrahim Majid amnya.

SMK Dato’ Ibrahim Majid bertekad untuk menjadi sebuah institusi pendidikan yang menjadi kebanggaan dan harapan ibu bapa untuk mendidik anak-anak yang akan menjadi pewaris negara bangsa. Pihak sekolah amat menyedari bahawa dalam menempuh era yang mencabar, pelajar perlu mempunyai ketahanan mental, fizikal, emosi dan rohani yang tinggi dalam usaha membentuk generasi yang mampu menangani setiap perubahan yang berlaku. Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang berilmu, berakhlak mulia dan berketrampilan hasil kecelikan akalnya, kesedaran dalamannya dan kesejahteraan jasmaninya.

Bagi mewujudkan sekolah sebagai tempat yang istimewa untuk memperoleh kejayaan, maka pelbagai usaha telah dilaksanakan di peringkat sekolah. Di samping program rutin pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang dilaksanakan setiap hari, pihak sekolah juga menjalankan program-program kecemerlangan akademik dan sahsiah. Antara program yang terkini ialah Program Personal Touch dimana pihak pentadbir memberi motivasi kepada pelajar setiap tingkatan.  Selain itu pihak sekolah juga memastikan pelajar lelaki dan perempuan solat berjemaah sebelum pulang dari sekolah.

Sebagaimana yang kita ketahui, kejayaan para pelajar tidak bergantung sepenuhnya kepada usaha dan bimbingan guru semata-mata, malah kerjasama ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk menentukannya. Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru, kakitangan sokongan, YDP serta AJK PIBG , ibu bapa dan pelajar-pelajar yang telah memberi kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menaikkan imej sekolah ini. Semoga hasrat sekolah untuk menjadi sebuah institusi pendidikan yang terbilang kecemerlangannya dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah akan tercapai.

Sekian terima kasih

No comments:

Post a Comment